Tuesday, August 7, 2012

Lafran dan Gadis Tol - cubaan pertama


Assalamualaikum kepada semua Bloggers, Readers, dan Rakan-rakan.

Hari ini KSG berminat untuk kongsikan sebuah karangan pendek yang ditulis oleh KSG. Tiada rangkaan awal yang dibuat semasa menulis karangan pendek ini, KSG cuba menceritakan sebuah cerita dalam beberapa perenggan, terus hantar dekat rakan KSG untuk jadi editor. Thanks kepada Kak Dill kerana sudi menjadi editor sambilan untuk karangan pendek KSG ini. KSG tahu Kak Dill agak terseksa menyunting karangan pendek ini. Semoga hati Kak Dill sentiasa berbunga-bunga. :)

Kepada anda semua, selamat membaca kisah 'Lafran' yang tidak seberapa ini. Komen anda adalah sangat dihargai oleh KSG. Terima Kasih. Cerpen pendek, karangan pendek, tulisan pendek or 'what ever you call it' ini tidak ada kena-mengena dengan orang yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. Yang baik datang daripada Allah, yang buruk datang daripada kesilapan KSG. Selamat membaca. :)


Bismillahirrahmanirrahim
'Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang' 

 
Lafran dan Gadis Tol
 
Jam di dashboard jelas menunjukkan angka 6.23 minit. Petang itu, kepala Lafran terasa pening yang amat. Ternyata hari ini bukanlah hari yang baik untuk Lafran. Beberapa jam tadi, dia telah menjadi sasaran amarah bosnya kerana tidak membantu rakan pejabat menyiapkan tugasan yang terang-terang bukan tanggungjawabnya. Malah, dia punya tugasan yang lebih penting untuk diselesaikan.

“Kenapa awak tak bantu mereka kemas bilik setor?” bentak ketua jabatannya.

“Bukan ke bilangan mereka terlalu ramai untuk angkat hanya 4 kotak tu?” Lafran sengaja menjawab dengan pertanyaan juga. Sedikit sinis.

Encik Sukiman memandang tepat ke mata Lafran, menggerunkan bak seekor singa yang sedang lapar. “Awak kerja di syarikat ni, kenalah amalkan gotong-royong. Buat kerja ramai-ramai, rewang. Faham?” 

Lafran hanya menunduk dan sesekali mengangguk-angguk walaupun kata-kata Encik Sukiman tadi masih belum habis terproses di mindanya. 

***

Lafran semakin bosan. Sudah setengah jam kereta Kancil yang dipandunya cuba untuk melepasi kesesakan lalu lintas di Jalan Sungai Rasau. Sesekali dia tersenyum sinis. Ramai pemandu yang kurang ajar, cuba menghimpit di celah-celah kesibukan ribuan kenderaan. Ramai yang tidak sabar dan yang paling Lafran denguskan, ramai pemandu yang suka memotong barisan.

Lafran  mula menilai jauh. Mungkin nilai murni menuggu barisan tidak diajar di sekolah mereka. Atau, mungkin juga mereka tidak bersekolah. Mindanya berkira-kira. Kaki Lafran selang-seli memijak pedal minyak, clutch dan brek. Terasa bagaikan hendak tercabut kakinya. Tak semena-mena timbul rasa menyesal kerana mengendahkan nasihat temannya suatu masa dulu supaya membeli kereta yang bergear automatik. Namun apakan daya, hanya kereta Kancil merah terpakai manual ini sahaja yang mampu dia miliki.

Perasaan lega mula menjelajah ke segenap saraf Lafran apabila berjaya melintasi lampu isyarat di bawah jejambat bertingkat Lebuhraya Persekutuan. Jemari Lafran menari mengikut rentak musik di radio sambil dia menyanyi sekuat hati. Tidak diendah pemandu lain yang perasan kelakuannya. Mood Lafran semakin baik. Sebentar lagi dia akan bertemu dengan ‘kekasih’ hatinya.

***

2 minggu lalu...

“Assalamualaikum,” sapa gadis jurutol sejurus Lafran membuka tingkap keretanya. 

Gadis berambut panjang itu tersenyum manis sambil mengambil tiket transit yang dihulur Lafran. Tertera nama Zulaina di tepi pondok tol tersebut. Nama itu cuba diingat Lafran elok-elok.

“Terima kasih,” ucap Lafran sambil menerima duit baki yang dihulur tangan Zulaina yang bersalut sarung berwarna-warni.

Sejak detik pertemuan itu, hampir setiap hari Lafran melalui pondok tol yang dijaga Zulaina. Bagai mahu gugur jantung Lafran apabila ternampak kelibat sarung tangan warna-warni mengambil tiket transit kereta di hadapan. Ingin sahaja Lafran melanggar kenderaan yang memanjangkan penantiannya bertemu Zulaina. Apabila tiba giliran Lafran, dia sengaja membayar dengan duit besar. Sengaja ambil kesempatan untuk berlama-lama menatap wajah Zulaina semasa gadis itu sibuk mengira baki bayaran.

Hari ini Lafran tidak peduli. Dia tekad mengorak langkah. Dia bercadang untuk menyelitkan kad namanya sewaktu membuat pembayaran di tol yang dijaga Zulaina nanti. Berbunga-bunga hatinya apabila tiba di susur keluar menuju lebuh raya PLUS. Kad transit yang diambil pantas diselitkan dalam poket kemeja berjenama Pierre Cardin dengan corak kotak-kotak kecil merah, coklat dan putih yang dipakainya. 

5 minit kemudian, Lafran tiba di tol keluar Setia Alam. Ada 3 lorong tol bayaran tunai menyalakan lampu isyarat hijau. Minda Lafran meneka-neka lorong tol keluar mana yang dijaga gadis pujaannya. Tekaan Lafran tidak pernah salah, dia memilih lorong tol tengah kali ini. 

Namun, entah di mana silapnya, tekaan Lafran kali ini tersasar. Bukan Zulaina yang bertugas di pondok tol yang dipilihnya tadi. Lafran cemas, dia menoleh ke pondok tol di laluan kiri dan kanan. Tiada bayang-bayang sarung tangan warna-warni yang terlihat. Tiada kelibat gadis berambut panjang yang sering menjadi pemandangan indahnya. Tiada gadis bernama Zulaina bertugas petang itu.

Lafran kecewa sekali. Hari itu betul-betul hari yang malang buatnya.

Kekecewaan Lafran terus berlarutan sehingga ke hari ini. Sejak petang malang itu, Lafran tidak lagi menemukan Zulaina. Dia juga tidak lagi menggunakan lebuh raya PLUS. Dia lebih sanggup menempuh kesesakan lalu lintas di tol 60 sen untuk pulang ke rumahnya di Klang. Dia ingin sekali melupakan saat indah bertemu Zulaina setiap kali pulang dari kerja. Bagi Lafran, Zulaina adalah penawar istimewa yang dicipta untuknya apabila dia stres di pejabat, ketika dia sedih akibat gaji yang dipotong malahan apabila dia bengang kerana dimarah Encik Sukiman. 

***

2 bulan telah berlalu, Lafran menyusuri kaki lima kedai demi kedai di Plaza Alam Sentral. Tujuan dia datang ke pusat beli belah itu hanyalah kerana ingin membeli sehelai baju. Kemeja Pierre Cardin bercorak kotak-kotak kecil merah, coklat, hitam dan putih itu telah koyak. Dia perlu mencari pengganti baju tersebut kerana sudah tiada kemeja untuk dipakai ke pejabat pada hari Rabu. Lafran menyelak baju-baju yang dipamerkan. Masih belum ada yang berkenan di hati.

“Assalamualaikum.” 

Tangan Lafran yang sibuk menyelak helaian baju tadi terhenti. Hatinya berdebar-debar. Suara yang memberi salam itu sangat dikenali Lafran. Dia pantas berpaling lalu di hadapannya kelihatan sesusuk tubuh gadis. Zulaina tersenyum manis.

TAMAT

12 comments:

  1. Wah, kreatif lah. cik Lily dah lama tak berkarya lepas habis sekolah dulu..
    Apapun tahniah sebab bahasa agak santai dan mudah readers nak imagine..
    Keep it up!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks kerana sudi membaca..thanks for the comment :)

      Delete
  2. Macam kenal jer dengan Encik Lafran yang selalu lalu tol Setia Alam ni...huhu! Pengalaman peribadi ek? Wakakaka! Tapi, saspen la.. Adakah Zulaina ni menjalin hubungan dengan Lafran ni? Endingnya agak tergantung... Nak tau kesudahannya... harap bersambung lagi ek...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima Kasih kerana sudi membaca.. cerita ini tiada kaitan dengan yang hidup atau pun yang sudah meninggal dunia.. :)

      Delete
  3. cite diri sendiri ker??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima Kasih kerana sudi membaca.. :)

      cerita ini tiada kena-mengena dengan orang yang hidup atau mati. :)

      Delete
  4. nice ur story...bahasa pun senang dipahami....=)

    ReplyDelete
  5. Pengomen Tegar Blog Fatimah Azzarah Setiap Bulan Akan Dapat Hadiah? Hanya perlu komen http://sicomel06.blogspot.com/2012/07/jom-menangi-hadiah-pengomen-tegar.html

    ReplyDelete

Assalamualaikum! Hai! Terima Kasih kerana sudi meninggalkan jejak anda ;)